Friday, March 20, 2015

4 Jenis Pendapatan

Kita perlu faham terdapat 4 jenis pendapatan yang telah  pun diklasifikasikan oleh bijak pandai dalam bidang kewangan.

1)      Pendapatan Makan Gaji
Gaji boleh diklasifikasikan sebagai sejumlah bayaran yang dibuat ke atas sejumlah masa yang digunakan oleh seseorang melakukan kerja dengan tahap kepakaran beliau. Jika kita tiap2 bulan dapat slip gaji, cucuk duit kat bank hujung bulan ada duit masuk pada jumlah dan tarikh tertentu, maka kita boleh diklasifikasikan sebagai pekerja makan gaji. Kadang-kadang ada juga orang yang dibayar gaji hari. Kerja kerajaan, kerja swasta, pekerja hotel, pekerja ladang, pekerja bahagian pembuatan, kerja kedai makan, semuanya dikira kerja makan gaji. 

2)      Pendapatan Kerja Sendiri
Kerja sendiri pula dikira apabila semua kerja dia nak dibuat sendiri. Selalunya perkerja sendiri ni merupakan seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang. Mereka tak percaya orang lain boleh buat kerja sehebat mereka. Pendapatan kerja sendiri ini akan terhenti pada satu tahap, tak berkembang. Ye la, semua benda nak kena buat sendiri, tangan ada dua saja. Kalau setakat ada 2-3 orang pekerja tu, nak diikutkan boleh dikira sebagai kerja sendiri lagi. 

3)      Pendapatan Perniagaan
Memiliki sebuah perniagaan adalah satu tahap yang patut diidamkan oleh semua orang.Tak semua orang mampu memiliki minda seorang pemilik perniagaan. Ramai yang kandas di tengah jalan, ada yang mampu bertahan, jatuh bangun semula dan tak kurang juga yang terus gulung tikar. Pemilik sesebuah perniagaan mempunyai ramai pekerja. Pemilik sesebuah perniagaan yang bagus mampu menarik pelabur untuk memberi modal kepada mereka. Mereka mengimplimentasi 2 cara pantas untuk mencapai kebebasan kewangan dengan menggunakan OPT (masa orang lain) dan OPM (duit orang lain).

4)      Pendapatan Pelaburan
Pendapatan pelaburan adalah pendapatan yang dikecapi oleh orang yang memang dah banyak duit, tetapi samaada tak tahu nak buat duit atau tak ada masa nak buat duit. Jadi mereka serahkan duit tu kepada yang pakar untuk menguruskannya. Orang yang macam ni wujud untuk memenuhi keperluan orang yang pandai urus perniagaan tapi modal terhad. Apa yang mereka perlukan adalah keyakinan terhadap sesuatu proposal pelaburan atau pun individu yang propose peluang kepada mereka. Selain melabur dalam perniagaan, golongan ini juga melabur dalam aset kertas, hartanah dan juga logam berharga.

Di manakah kedudukan kita sekarang? Tahap manakah yang kita mahukan? Terpulang kepada diri kita sendiri...

Thursday, March 12, 2015

2 Perkara Asas Membina Kekayaan


Terdapat 2 perkara asas dalam membina kekayaan. Ayat ini juga boleh diubah seperti berikut : Terdapat 2 perkara asas untuk berjaya dalam perniagaan. Perkara asas pertama kurangkan perbelanjaan dan perkara asas yang kedua tambahkan pendapatan. Kedua-dua asas ini jika diamalkan akan memberikan hasil yang positif.

Usaha untuk mengurangkan perbelanjaan boleh jadi pelbagai cara, samaada secara perlahan ataupun secara drastik. Dalam pemakanan kita boleh pilih untuk masak sendiri makanan ataupun makan di kedai. Untuk tempat tinggal kita boleh pilih untuk beli rumah sendiri, sewa rumah ataupun tinggal menumpang di rumah ibubapa. Untuk bergerak ke tempat kerja kita boleh memilih untuk menaiki motosikal ataupun kereta. Ada banyak lagi contoh cara hidup yang boleh kita implement dalam usaha megurangkan perbelanjaan. Aku suka untuk mengemukakan persoalan seperti berikut : Kenapa orang yang cuma bergaji ratusan ringgit boleh bela anak 5 orang dan hidup bahagia, sedangkan orang yang bergaji ribu-ribu dengan anak 2 orang hidup dikelilingi hutang dan asyik dok merungut duit tak cukup?

Untuk menambah pendapatan pula selalunya kita akan terfikir untuk mencari kerja tambahan. Balik kerja berniaga burger, hujung minggu berniaga pasar malam atau pasar tani, bulan puasa berniaga pasar Ramadan, musim raya jual kueh raya, berniaga online. Itu adalah contoh ‘active income’ atau dengan erti kata lain kita menukarkan masa berharga kita dengan duit. Selain itu kita juga boleh memilih ‘pasif income’ seperti melabur dalam saham, melabur dalam hartanah ataupun membina perniagaan.

Kedua-dua perkara asas ini sebenarnya adalah berkisar tentang cara hidup. Nak teruskan hidup macam kebanyakan orang ataupun nak keluar dari kebiasaan. Nak cara cepat atau cara lambat. Pilihan ditangan masing-masing.

Monday, March 9, 2015

Secebis Kisah Bendi Dalam Cawan

Bendi selalunya digunakan dalam masakan gulai dan asam pedas. Selain sedap jika digoreng dengan telur, bendi yang direbus juga boleh dibuat ulam.

Bendi adalah sejenis tumbuhan sayuran yang agak mudah ditanam. Kalau sekadar nak mengisi masa lapang petang-petang atau hari cuti tu tanaman bendi memang sesuai sangat. Dapatkan benih, terus semai atas tanah. Selepas anak benih tumbuh, pastikan siram setiap hari dan bubuh baja ikut keperluan. Bila dah mula berbuah tu boleh kutip setiap 2 hari sekali. Kalau tanam banyak pokok, buah yang lebih tu siap boleh sedekah kat jiran-jiran lagi.

Tanam bendi dalam cawan mungkin kedengaran agak pelik. Aku buat sekadar nak mencabar minda dan cubaan untuk berfikir di luar kotak. Bila aku cerita kat orang, diorang cakap mana boleh. Ok. Aku pun terus buat dan hasilnya, bendi memang boleh tanam dalam cawan, cuma terdapat kekangan-kekangan tertentu yang memerlukan penambahbaikan.

Berikut pemerhatian yang aku dibuat:

1) Hasil tanaman dalam cawan tidak sesubur seperti menanam terus atas tanah disebabkan oleh saiz bekas yang kecil. Jadi jumlah air yang diberikan terhad satu cawan sahaja. Tumbuhan tak boleh menyerap air dengan cepat seperti manusia minum air.  Perkara ini mungkin boleh diselesaikan jika air boleh diberi secara berterusan mengikut keperluan tumbuhan.

2) Penanaman dalam cawan adalah terhad selama 1 bulan sahaja. Sekiranya air dan baja diberi pada kadar yang mencukupi pun belum tentu tumbuhan dapat membesar dengan sempurna. Kadar serakan akar akan bertambah seiring dengan kadar pertumbuhan tumbuhan. Pada satu tahap saiz bekas yang kecil tak mampu menampung kepadatan serakan akar tersebut. Untuk itu selepas 1 bulan pokok bendi boleh dialihkan ke atas tanah.

Pokok bendi dalam cawan yang kurus, di apit pokok sawi dan kucai.


Pokok bendi yang ditanam atas tanah lebih gemuk dan subur.

Pada ketika update ini ditulis, bendi dalam cawan yang aku tanam telah pun dialihkan ke tanah. Dah kutip hasil sebanyak 7 biji dah pun. Rebus buat ulam jer la...