Tuesday, April 7, 2015

3 jenis lagi pendapatan yang perlu diketahui

Suatu malam En N bergegas pergi ke Batang Berjuntai untuk berjumpa dengan seseorang atas urusan sewa beli hartanah. Hartanah tersebut ialah satu kawasan paya bakau yang terletak di tepi jalan di suatu kawasan di Sungai Petani. En N bercadang untuk membangunkan kawasan tersebut menjadi medan selera, seterusnya menyewakan lot-lot gerai tersebut kepada peniaga. Ini adalah salah satu contoh pendapatan pasif. Perlu diingat!! En N perlu mengambilkira jumlah modal yang dikeluarkan untuk sewa/beli tanah, kos pembangunan dan promosi yang perlu dilakukan untuk menarik orang ramai ke kawasan tersebut. En N perlu tahu berapa lama diperlukan untuk mendapat kembali wang yang dilaburkan ke dalam perniagaan yang diidamkannya itu.

Sampai di Batang Berjuntai En N telah berjumpa dengan tuan punya tanah tersebut. Rupa-rupanya sudah 5 orang datang bertemu dengannya untuk bertanyakan berkenaan tanah tersebut sebelum ini. Tuan tanah adalah seorang yang telah berhenti kerja (makan gaji) dalam bidang minyak dan gas dan menceburkan diri sepenuhnya dalam bidang jual beli hartanah. Tuan tanah bukan jenis yang pentingkan jualan pada nilai tinggi sahaja. Dia berminat untuk mengetahui apakah tujuan seseorang itu ingin membeli haratanah paya bakau tersebut. Proposal En N secara tidak lansung telah menarik perhatian beliau. Setelah berbincang mengenai harga hartanah tersebut, En N telah diberi tempoh untuk membuat keputusan pembelian dan membayar sedikit deposit jika En N betul-betul berminat. Di akhir tempoh tersebut, En N tidak jadi membeli setelah mengambilkira pelbagai faktor.

Walaupun pembelian hartanah tersebut tidak berlaku, En N telah belajar sesuatu daripada tuan tanah tersebut. Tuan tanah tersebut telah menceritakan tentang 3 jenis pendapatan iaitu pendapatan harian, pendapatan bulanan dan pendapatan tahunan.

Pendapatan Harian
Contoh pendapatan harian adalah berniaga. Peniaga mengeluarkan modal pada waktu pagi dan disebelah petangnya mendapat untung hasil jualan. Pekerjaan yang mendapat upah harian juga boleh dikira sebagai pendapatan harian. Tukang rumah selalunya mendapat upah harian.

Pendapatan Bulanan
Ini adalah jenis pendapatan yang dipelopori oleh kebanyakan orang, dalam erti kata lain, kita perlu bekerja untuk satu tempoh tertentu dan dibayar upah setiap hujung bulan.

Pendapatan Tahunan
Pendapatan ini diperolehi hasil pelaburan dalam saham-saham tertentu. Hasil keuntungan sesuatu syarikat besar dipulangkan semula kepada pelabur setiap hujung tahun. Pendapatan ASB dan Tabung Haji boleh dikira sebagai pendapatan tahunan.

Kata tuan tanah tersebut, penting untuk kita mempunyai lebih daripada satu jenis pendapatan. Lebih banyak kepelbagaian sumber pendapatan lagi bagus. Perkara ini adalah untuk memudahkan kita menyerap sebarang perubahan pasang surut pendapatan kita. Tidak mustahil untuk seseorang mempunyai lebih daripada satu pendapatan. 20 pendapatan pun tidak mustahil. Seorang pekerja kilang yang berniaga burger di malam hari, boleh dikira mempunyai 2 pendapatan iaitu pendapatan bulanan dan pendapatan harian. Seorang cikgu sekolah yang mengajar tuisyen pada malam hari dan melabur dalam ASB, Tabung Haji dan Bank Rakyat mempunyai 5 pendapatan (2 bulanan + 3 tahunan). OK jom kita pelbagaikan pendapatan. Semoga berjaya.

No comments:

Post a Comment