Tuesday, April 7, 2015

3 jenis lagi pendapatan yang perlu diketahui

Suatu malam En N bergegas pergi ke Batang Berjuntai untuk berjumpa dengan seseorang atas urusan sewa beli hartanah. Hartanah tersebut ialah satu kawasan paya bakau yang terletak di tepi jalan di suatu kawasan di Sungai Petani. En N bercadang untuk membangunkan kawasan tersebut menjadi medan selera, seterusnya menyewakan lot-lot gerai tersebut kepada peniaga. Ini adalah salah satu contoh pendapatan pasif. Perlu diingat!! En N perlu mengambilkira jumlah modal yang dikeluarkan untuk sewa/beli tanah, kos pembangunan dan promosi yang perlu dilakukan untuk menarik orang ramai ke kawasan tersebut. En N perlu tahu berapa lama diperlukan untuk mendapat kembali wang yang dilaburkan ke dalam perniagaan yang diidamkannya itu.

Sampai di Batang Berjuntai En N telah berjumpa dengan tuan punya tanah tersebut. Rupa-rupanya sudah 5 orang datang bertemu dengannya untuk bertanyakan berkenaan tanah tersebut sebelum ini. Tuan tanah adalah seorang yang telah berhenti kerja (makan gaji) dalam bidang minyak dan gas dan menceburkan diri sepenuhnya dalam bidang jual beli hartanah. Tuan tanah bukan jenis yang pentingkan jualan pada nilai tinggi sahaja. Dia berminat untuk mengetahui apakah tujuan seseorang itu ingin membeli haratanah paya bakau tersebut. Proposal En N secara tidak lansung telah menarik perhatian beliau. Setelah berbincang mengenai harga hartanah tersebut, En N telah diberi tempoh untuk membuat keputusan pembelian dan membayar sedikit deposit jika En N betul-betul berminat. Di akhir tempoh tersebut, En N tidak jadi membeli setelah mengambilkira pelbagai faktor.

Walaupun pembelian hartanah tersebut tidak berlaku, En N telah belajar sesuatu daripada tuan tanah tersebut. Tuan tanah tersebut telah menceritakan tentang 3 jenis pendapatan iaitu pendapatan harian, pendapatan bulanan dan pendapatan tahunan.

Pendapatan Harian
Contoh pendapatan harian adalah berniaga. Peniaga mengeluarkan modal pada waktu pagi dan disebelah petangnya mendapat untung hasil jualan. Pekerjaan yang mendapat upah harian juga boleh dikira sebagai pendapatan harian. Tukang rumah selalunya mendapat upah harian.

Pendapatan Bulanan
Ini adalah jenis pendapatan yang dipelopori oleh kebanyakan orang, dalam erti kata lain, kita perlu bekerja untuk satu tempoh tertentu dan dibayar upah setiap hujung bulan.

Pendapatan Tahunan
Pendapatan ini diperolehi hasil pelaburan dalam saham-saham tertentu. Hasil keuntungan sesuatu syarikat besar dipulangkan semula kepada pelabur setiap hujung tahun. Pendapatan ASB dan Tabung Haji boleh dikira sebagai pendapatan tahunan.

Kata tuan tanah tersebut, penting untuk kita mempunyai lebih daripada satu jenis pendapatan. Lebih banyak kepelbagaian sumber pendapatan lagi bagus. Perkara ini adalah untuk memudahkan kita menyerap sebarang perubahan pasang surut pendapatan kita. Tidak mustahil untuk seseorang mempunyai lebih daripada satu pendapatan. 20 pendapatan pun tidak mustahil. Seorang pekerja kilang yang berniaga burger di malam hari, boleh dikira mempunyai 2 pendapatan iaitu pendapatan bulanan dan pendapatan harian. Seorang cikgu sekolah yang mengajar tuisyen pada malam hari dan melabur dalam ASB, Tabung Haji dan Bank Rakyat mempunyai 5 pendapatan (2 bulanan + 3 tahunan). OK jom kita pelbagaikan pendapatan. Semoga berjaya.

Wednesday, April 1, 2015

2 Keperluan Utama Untuk Memulakan Perniagaan

Mungkin sesiapa dalam bidang marketing sudah biasa dengan 4P iaitu product, price, place & promotion. Namun, di sini hanya 2 saja akan diulas.

1. Produk (product & price)
Produk boleh terdiri daripada bahan mentah, bahan separa siap, bahan siap diproses atau pun servis dan perkhidmatan. Kita perlu betul-betul faham dengan produk, ini termasuklah perincian dari segi bahan yang digunakan, proses penghasilan, kualiti, rupabentuk dan kos yang terlibat. Produk yang murah selalunya mempunyai kualiti yang kurang. Pembeli sanggup membeli pada harga yang mahal asalkan mereka mendapat kepuasan dengan pembelian merekan. Kita tidak semestinya mencipta produk yang baru, sebaliknya kita juga boleh menggunakan produk produk orang lain dengan melakukann penambahbaikan untuk kelihatan lain dari yang lain. Lebih banyak yang kita tahu tentang produk, lebih mudah untuk kita bertidakbalas terhadap sebarang perubahan yang berlaku sepanjang menjalankan perniagaan.

2. Pasaran (place & promotion)
Produk yang bagus tidak akan memberi apa-apa makna jika tidak dipasarkan. Kita mungkin pernah jumpa produk yang nampak biasa sahaja tetapi dapat dipasarkan dengan baik dan memberikan keuntungan yang di luar jangka. Seeloknya kita fokuskan pasaran kita di suatu kawasan yang kecil mengikut kemampuan kita menguruskan produk. Secara beransur besarkan pasaran sejajar dengan perkembangan perniagaan. Pihak bank atau pemberi pinjaman seperti Mara dan Tekun amat menitikberatkan analisis pasaran dalam pembentangan kertas kerja memohon modal tambahan dalam bentuk pinjaman.

Friday, March 20, 2015

4 Jenis Pendapatan

Kita perlu faham terdapat 4 jenis pendapatan yang telah  pun diklasifikasikan oleh bijak pandai dalam bidang kewangan.

1)      Pendapatan Makan Gaji
Gaji boleh diklasifikasikan sebagai sejumlah bayaran yang dibuat ke atas sejumlah masa yang digunakan oleh seseorang melakukan kerja dengan tahap kepakaran beliau. Jika kita tiap2 bulan dapat slip gaji, cucuk duit kat bank hujung bulan ada duit masuk pada jumlah dan tarikh tertentu, maka kita boleh diklasifikasikan sebagai pekerja makan gaji. Kadang-kadang ada juga orang yang dibayar gaji hari. Kerja kerajaan, kerja swasta, pekerja hotel, pekerja ladang, pekerja bahagian pembuatan, kerja kedai makan, semuanya dikira kerja makan gaji. 

2)      Pendapatan Kerja Sendiri
Kerja sendiri pula dikira apabila semua kerja dia nak dibuat sendiri. Selalunya perkerja sendiri ni merupakan seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang. Mereka tak percaya orang lain boleh buat kerja sehebat mereka. Pendapatan kerja sendiri ini akan terhenti pada satu tahap, tak berkembang. Ye la, semua benda nak kena buat sendiri, tangan ada dua saja. Kalau setakat ada 2-3 orang pekerja tu, nak diikutkan boleh dikira sebagai kerja sendiri lagi. 

3)      Pendapatan Perniagaan
Memiliki sebuah perniagaan adalah satu tahap yang patut diidamkan oleh semua orang.Tak semua orang mampu memiliki minda seorang pemilik perniagaan. Ramai yang kandas di tengah jalan, ada yang mampu bertahan, jatuh bangun semula dan tak kurang juga yang terus gulung tikar. Pemilik sesebuah perniagaan mempunyai ramai pekerja. Pemilik sesebuah perniagaan yang bagus mampu menarik pelabur untuk memberi modal kepada mereka. Mereka mengimplimentasi 2 cara pantas untuk mencapai kebebasan kewangan dengan menggunakan OPT (masa orang lain) dan OPM (duit orang lain).

4)      Pendapatan Pelaburan
Pendapatan pelaburan adalah pendapatan yang dikecapi oleh orang yang memang dah banyak duit, tetapi samaada tak tahu nak buat duit atau tak ada masa nak buat duit. Jadi mereka serahkan duit tu kepada yang pakar untuk menguruskannya. Orang yang macam ni wujud untuk memenuhi keperluan orang yang pandai urus perniagaan tapi modal terhad. Apa yang mereka perlukan adalah keyakinan terhadap sesuatu proposal pelaburan atau pun individu yang propose peluang kepada mereka. Selain melabur dalam perniagaan, golongan ini juga melabur dalam aset kertas, hartanah dan juga logam berharga.

Di manakah kedudukan kita sekarang? Tahap manakah yang kita mahukan? Terpulang kepada diri kita sendiri...

Thursday, March 12, 2015

2 Perkara Asas Membina Kekayaan


Terdapat 2 perkara asas dalam membina kekayaan. Ayat ini juga boleh diubah seperti berikut : Terdapat 2 perkara asas untuk berjaya dalam perniagaan. Perkara asas pertama kurangkan perbelanjaan dan perkara asas yang kedua tambahkan pendapatan. Kedua-dua asas ini jika diamalkan akan memberikan hasil yang positif.

Usaha untuk mengurangkan perbelanjaan boleh jadi pelbagai cara, samaada secara perlahan ataupun secara drastik. Dalam pemakanan kita boleh pilih untuk masak sendiri makanan ataupun makan di kedai. Untuk tempat tinggal kita boleh pilih untuk beli rumah sendiri, sewa rumah ataupun tinggal menumpang di rumah ibubapa. Untuk bergerak ke tempat kerja kita boleh memilih untuk menaiki motosikal ataupun kereta. Ada banyak lagi contoh cara hidup yang boleh kita implement dalam usaha megurangkan perbelanjaan. Aku suka untuk mengemukakan persoalan seperti berikut : Kenapa orang yang cuma bergaji ratusan ringgit boleh bela anak 5 orang dan hidup bahagia, sedangkan orang yang bergaji ribu-ribu dengan anak 2 orang hidup dikelilingi hutang dan asyik dok merungut duit tak cukup?

Untuk menambah pendapatan pula selalunya kita akan terfikir untuk mencari kerja tambahan. Balik kerja berniaga burger, hujung minggu berniaga pasar malam atau pasar tani, bulan puasa berniaga pasar Ramadan, musim raya jual kueh raya, berniaga online. Itu adalah contoh ‘active income’ atau dengan erti kata lain kita menukarkan masa berharga kita dengan duit. Selain itu kita juga boleh memilih ‘pasif income’ seperti melabur dalam saham, melabur dalam hartanah ataupun membina perniagaan.

Kedua-dua perkara asas ini sebenarnya adalah berkisar tentang cara hidup. Nak teruskan hidup macam kebanyakan orang ataupun nak keluar dari kebiasaan. Nak cara cepat atau cara lambat. Pilihan ditangan masing-masing.

Monday, March 9, 2015

Secebis Kisah Bendi Dalam Cawan

Bendi selalunya digunakan dalam masakan gulai dan asam pedas. Selain sedap jika digoreng dengan telur, bendi yang direbus juga boleh dibuat ulam.

Bendi adalah sejenis tumbuhan sayuran yang agak mudah ditanam. Kalau sekadar nak mengisi masa lapang petang-petang atau hari cuti tu tanaman bendi memang sesuai sangat. Dapatkan benih, terus semai atas tanah. Selepas anak benih tumbuh, pastikan siram setiap hari dan bubuh baja ikut keperluan. Bila dah mula berbuah tu boleh kutip setiap 2 hari sekali. Kalau tanam banyak pokok, buah yang lebih tu siap boleh sedekah kat jiran-jiran lagi.

Tanam bendi dalam cawan mungkin kedengaran agak pelik. Aku buat sekadar nak mencabar minda dan cubaan untuk berfikir di luar kotak. Bila aku cerita kat orang, diorang cakap mana boleh. Ok. Aku pun terus buat dan hasilnya, bendi memang boleh tanam dalam cawan, cuma terdapat kekangan-kekangan tertentu yang memerlukan penambahbaikan.

Berikut pemerhatian yang aku dibuat:

1) Hasil tanaman dalam cawan tidak sesubur seperti menanam terus atas tanah disebabkan oleh saiz bekas yang kecil. Jadi jumlah air yang diberikan terhad satu cawan sahaja. Tumbuhan tak boleh menyerap air dengan cepat seperti manusia minum air.  Perkara ini mungkin boleh diselesaikan jika air boleh diberi secara berterusan mengikut keperluan tumbuhan.

2) Penanaman dalam cawan adalah terhad selama 1 bulan sahaja. Sekiranya air dan baja diberi pada kadar yang mencukupi pun belum tentu tumbuhan dapat membesar dengan sempurna. Kadar serakan akar akan bertambah seiring dengan kadar pertumbuhan tumbuhan. Pada satu tahap saiz bekas yang kecil tak mampu menampung kepadatan serakan akar tersebut. Untuk itu selepas 1 bulan pokok bendi boleh dialihkan ke atas tanah.

Pokok bendi dalam cawan yang kurus, di apit pokok sawi dan kucai.


Pokok bendi yang ditanam atas tanah lebih gemuk dan subur.

Pada ketika update ini ditulis, bendi dalam cawan yang aku tanam telah pun dialihkan ke tanah. Dah kutip hasil sebanyak 7 biji dah pun. Rebus buat ulam jer la...

Wednesday, February 25, 2015

Hello World!

Hello World!

Hampir 4 tahun sejak penulisan aku yang sudah. Tiba-tiba tangan ni terasa gatal pulak nak menulis.

4 tahun dulu tiba-tiba aku terasa buntu tak tau nak kongsi apa.
Aku terasa ilmu aku cukup kurang untuk berkongsi cerita di halaman blog ini.
Kadang-kadang aku ada benda nak kongsi tapi tangan ni tak tergerak pulak nak menulis.
Banyak jugak benda yang aku lalui sepanjang 4 tahun ni...

Insya-Allah aku akan cuba untuk kemaskini kembali.

Yang pasti ianya akan berkisar tentang "Bagaimana nak capai kebebasan kewangan?"




Sunday, August 1, 2010

Sekian lama tak update Blog

Alamak! dah lama gila aku tak update blog. 2 minggu lepas dah ada orang tanya aku pasal blog aku yang dah lama tak upadate. hmmm... ini menunjukkan ada jugak orang yang prihatin tentang kewujudan blog aku dan sudi mengikuti perkembangannya. Kepada sesiapa yang mengikuti blog ini, pertama sekali terima kasih atas sokongan anda. komen anda secara bertulis mahupun lisan amatlah diperlukan untuk memajukan lagi blog ini. Keduanya aku mintak maaf banyak sebab aku tak memberi perhatian yang sewajarnya kepada blog ini untuk beberapa waktu. bukan apa, frust tengok keadaan sawit aku yang lambat sangat nak pulih. Heheh.... alasan... aku kekeringan idea untuk pengolahan penulisan sebenarnya...

Apa-apa hal pun, elok aku ceritakan secara kasar apa perkembangan yang berlaku sepanjang tempoh aku tak update blog...

Sawit
Setakat 17/7/2010 aku baru habis membaja untuk kali yang ke-3. Kerja cuci pokok 95% ayah yang buat. Kerja sulam pokok mati pun semua ayah yang buat. Aku cuma membantu semasa membaja dan meracun sahaja. Kekangan masa... aku kerja makan gaji beb. Secara keseluruhan, pertumbuhan pokok adalah tidak sekata, ada yang kecik ada yang besar.


Tebu
Tebu aku telah mula dijual sebanyak 450kg dengan hasil jualan sebanyak RM232.00. Ingatkan nak jual bualan posa nanti, tapi pokok aku dilanda angin kuat menyebabkan habis pancang yang dibuat patah dengan teruknya. Nak betulkan balik pun dah tak boleh, jadi aku biarkan saja. Aku jangkakan jualan setakat RM800.00 sahaja dengan tanah sekangkang kera tu. Kawasan baru perlu disediakan untuk sulam pucuk tebu yang dipotong.


Pelaburan hartanah
Satu bidang yang aku sedang berjinak-jinak. Banyak juga survey yang telah aku buat sama ada secara online mahupun pergi sendiri ke lokasi. Ada la dua tiga buku yang dah aku baca tentang pelaburan hartanah. Banyak lagi yang perlu dipelajari. Pengalaman masuk lelong dah pun aku rasa baru-baru ni, walaupun pada hakikatnya, keberanian aku untuk menceburkan diri masih ditahap minimum, akibat komitmen kewangan aku yang terlalu tinggi. nanti aku ceritakan pasal pengalaman beli rumah secara lelong untuk post yang akan datang.