Saturday, August 22, 2009

Penyedian pancang untuk jarak tanaman

Pancang digunakan sebagai penanda sebelum sesuatu objek yang sebenar diletakkan di suatu tempatnya. Dalam pertanian proses menanda menggunakan pancang dilakukan untuk mendapatkan jarak yang sesuai antara pokok, susunan yang teratur, disamping dapat memaksimumkan penggunaan tanah. Dalam pertanian moden susunan tanaman merupakan perkara yang wajib sebelum sesuatu pokok dapat ditanam.

Setiap pokok mempunyai jarak yang berlainan bergantung kepada jenis dan juga varieti. Cara paling mudah untuk mengetahui jarak antara pokok ialah dengan mengukur jarak antara dua ranting yang paling hujung yang mampu dicapai oleh pokok tersebut, atau dengan erti kata lain, ukur diameter pokok (bukan diameter batang pokok). Diameter tersebut merupakan ukuran jarak yang sesuai antara setiap pokok. Ukuran yang kurang akan menyebabkan pokok kurang produktif kerana perlu bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan cahaya, manakala ukuran yang lebih menyebabkan pembaziran tanah. Dalam penanaman sayuran, selain jarak antara pokok, jarak antara batas juga perlu diambilkira. Perkara ini adalah untuk memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pungutan hasil.

Terdapat 2 jenis penandaan yang lazim digunakan untuk jarak setiap pokok; bentuk segiempat atau pun bentuk segitiga. Penanaman getah selalunya menggunakan jarak berbentuk segiempat, manakala sawit menggunakan jarak berbentuk segitiga. Bagi tanaman sayuran, akibat pemisahan antara batas, bentuk segiempat ini boleh juga dipanggil garis lurus, manakala bentuk segitiga dipanggil zig-zag. Asasnya tetap sama...

Dalam penyediaan pancang, di atas kertas memang nampak mudah, namun dalam keadaan sebenar tanpa perancangan dan persedian yang rapi boleh menyebabkan kerja menjadi rumit. Tali boleh digunakan untuk mendapatkan satu garisan yang lurus manakala kayu pengukur digunakan untuk mendapatkan jarak tanaman yang tetap antara pokok. Dalam kawasan yang luas, pancang yang telah ditanda akan menjadi rujukan untuk mendapat susunan yang lurus pada setiap arah. Jarak berbentuk segiempat lebih mudah kerana hanya melibatkan 2 susunan iaitu baris dan lajur. Jarak berbentuk segitiga lebih mencabar kerana ianya melibatkan 3 susunan pada arah setiap 60 darjah.

No comments:

Post a Comment